KUALA LUMPUR: Penambahbaikan syarat permohonan Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) antara tumpuan Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) meminta Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah untuk menambah baik syarat permohonan PPRS supaya dapat memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan yang memerlukan.
Sesi soal jawab diteruskan dengan Ganabatirau A/L Veraman (PH-Klang) kepada Kementerian Kesihatan berhubung jumlah doktor pelatih yang telah diserap ke dalam fasiliti kesihatan negara sepanjang 2024 serta jangkaan untuk 2025.
Beliau turut meminta kementerian mengenai statistik jumlah doktor pelatih yang sedang menunggu penempatan setakat ini.
Sementara itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mahu jawapan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan mengenai langkah menangani isu harga rumah semakin melonjak dan membebankan bakal pemilik rumah terutama dalam kalangan generasi muda yang baru berkerjaya.
Dalam pada itu, Chiew Choon Man (PH-Miri) meminta Kementerian Sumber Manusia berkenaan inisiatif kementerian dalam memudahkan proses dan mengurangkan kos pengambilan pekerja asing.
Sesi diteruskan dengan jawapan menteri-menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja dimulai dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dan Kementerian Pengangkutan.
Seterusnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Luar.-UTUSAN