KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) telah membuka sebanyak lapan kertas siasatan sejak 1 Julai 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan telah dilakukan terhadap setiap aduan diterima dan terdapat juga yang mencadangkan hukuman daripada laporan diperoleh IPCC.
Kata beliau, sebahagian aduan melibatkan isu rasuah perlu disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa lain sekiranya berkaitan.
“Setakat ini IPCC telah berjaya membuka lapan kertas siasatan dan empat daripadanya telah berjaya diselesaikan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang memintanya menyatakan pencapaian Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sejak penubuhannya sehingga akhir 2024.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, IPCC sudah berjaya membangunkan Sistem Pengurusan Aduan dan Kendalian Sistem (SPEAKS) dan akan dilancarkan pada bulan depan.
“Melalui cara ini, ia akan menggantikan sistem aduan cara sekarang (iaitu) email, datang sendiri (dan) hantar surat (itu) tidak ada lagi. Boleh terus laporkan melalui sistem ini.
“Apabila sistem ini sudah mula beroperasi, kita akan dapat susuli, misalnya kita nak hasilkan laporan tahunan dengan terperinci, statistik aduan yang diterima, diselesaikan dan tertangguh, kita boleh buat.
“Kita juga boleh kemaskini masa nyata maknanya apabila sistem ini dibangunkan nanti, dengan sendirinya akan ada dashboard untuk buat pengesanan terhadap status aduan. Kita juga akan menggunakan ini untuk membuat penglibatan media dengan lebih kerap,” katanya.
Saifuddin berkata, kewujudan sistem tersebut akan membantu pihak kerajaan meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap IPCC. – UTUSAN