PARLIMEN: Ibu bapa tiada kuasa rotan pembuli di sekolah

PARLIMEN: Ibu bapa tiada kuasa rotan pembuli di sekolah

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Ibu bapa atau orang awam tiada kuasa untuk mengambil tindakan fizikal termasuk hukuman rotan terhadap murid yang melakukan kesalahan di sekolah.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa hukuman rotan terhadap murid hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar atau guru yang diberikan kuasa dan perlu tertakluk kepada garis panduan yang ketat seperti dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Beliau berkata, hukuman rotan tidak boleh dilaksanakan di khalayak ramai atau di tapak perhimpunan sekolah, seperti yang diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid, selain tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan.

“Hukuman rotan adalah antara bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan kesalahan berat termasuk kesalahan buli. Namun, hukuman ini tidak bertujuan mendera, sebaliknya bertindak sebagai kaedah pendidikan yang bersifat membimbing dan mendisiplinkan murid supaya mereka dapat memahami implikasi perbuatan mereka.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga menegaskan pendekatan pendidikan yang bersifat membina, seperti bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai murni adalah langkah yang lebih efektif dalam membentuk peribadi murid yang berakhlak dan berintegriti,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai sama ada kementerian bersedia membenarkan waris pelajar yang dibuli merotan pembuli dalam kalangan pelajar pada perhimpunan pagi di sekolah.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM berpandangan pendekatan yang lebih berkesan dalam menangani sebarang isu disiplin membabitkan murid adalah dengan memperkukuh komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa.

“KPM sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan disiplin di sekolah sejajar dengan dasar pendidikan yang menitikberatkan pembentukan akhlak dan integriti.

“Semua pihak diseru untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan harmoni bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya