KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kebun getah yang tidak menuaikan hasil.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, langkah itu bagi memastikan pengeluaran getah meningkat dari masa ke semasa.
Kata beliau, langkah itu juga bagi menggalakkan penjualan lateks berbanding skrap getah yang mana penggunaannya adalah tinggi ketika ini.
“Selain itu, kementerian juga memberi galakan kepada pekebun-pekebun kecil khasnya bagi memastikan getah bukan sahaja dijual dalam bentuk skrap, namun kerajaan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperbanyak penjualan lateks.
“Yang mana daripada sudut penggunaan lateks dalam negara adalah tinggi dan harganya juga tinggi. Jadi usaha yang kita laksanakan adalah dengan meningkatkan jualan lateks melalui pengenalan Model Depo Lateks Berprestasi Tinggi di kebun-kebun.
“Kita juga bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi, selain (penjualan) tanaman getah kita juga dapat insentif lain bagi menjaga kebajikan pekebun getah ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta kementerian menyatakan usaha mendorong generasi muda menceburi bidang penanaman getah. – UTUSAN