KUALA LUMPUR: Pegawai-pegawai perubatan kanan termasuk doktor pakar mempunyai tanggungjawab dalam mewujudkan suasana kerja yang kondusif bagi memastikan budaya buli di hospital dan klinik kesihatan dapat ditamatkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) atau doktor pelatih kebiasaannya sering menjadi sasaran gejala buli yang berlaku di hospital.
“Sangat mustahak untuk kita mewujudkan apa yang diistilahkan sebagai just working environment (suasana kerja kondusif) di fasiliti-fasiliti kesihatan bukan sahaja di Kementerian Kesihatan sahaja.
“Untuk kita mewujudkan suasana di tempat kerja yang penuh empati, adil dan menghormati antara satu sama lain iaitu yang senior menghormati junior itu sangat mustahak. Peranan pegawai perubatan semua peringkat adalah sangat mustahak,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai mekanisme untuk mengekang budaya buli doktor pelatih dan jururawat serta tidak dieksploitasi oleh pegawai-pegawai atasan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, walaupun Kementerian Kesihatan mempunyai pelbagai langkah khusus yang diwujudkan bagi menangani budaya buli di fasiliti-fasilitinya tetapi peranan dimainkan oleh pegawai-pegawai perubatan kanan itu lebih penting.
“Namun, pada saya adalah mustahak untuk kita bertanggungjawab, khasnya ketua-ketua jabatan, perunding kanan, doktor pakar dan sebagainya untuk memastikan serta mewujudkan budaya kerja yang adil, saksama dan penuh empati.
“Ini supaya kita dapat lahirkan kerja berpasukan yang mantap, padu dan penuh belas ihsan” katanya.-UTUSAN