PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan media sosial tanpa lesen berdepan denda sehingga RM1 juta jika melanggar peraturan yang sedia ada.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini berkuasa mengambil tindakan susulan penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 (Akta A1743) yang mula berkuat kuasa pada 11 Februari lalu.
“Jika disabitkan kesalahan, penyedia perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan penalti yang dipinda iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau 10 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.
“Dalam kes pelanggaran ini, MCMC akan mempertimbangkan tahap keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan Penyedia Perkhidmatan yang dimaksudkan dalam memutuskan tindakan yang bersesuaian,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai hukuman akan dikenakan kepada pengendali platform media sosial yang gagal memohon lesen Penyedia Media Sosial.
Fahmi berkata, sehingga 13 Februari lalu, tiga syarikat penyedia perkhidmatan telah memperoleh lesen iaitu WeChat International Pte Ltd (WeChat) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) pada 1 Januari, serta Telegram Messenger Incorporated (Telegram) 2 Januari lalu.
“MCMC sentiasa memastikan industri komunikasi dan multimedia di dalam negara dikawal selia dengan baik demi kebaikan rakyat,” katanya. – UTUSAN