KUALA LUMPUR: Penggubalan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik belum mencapai kata sepakat bagi mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik di Malaysia.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, masih terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik.
“Justeru, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bersama Setiausaha Agung semua parti politik yang dipengerusikan oleh saya sendiri bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti mengenai cadangan penggubalan RUU ini serta membincangkan persoalan dasar yang timbul,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah status Akta Pendanaan Politik dan bilakah akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan daripada parti-parti politik kerajaan dan pembangkang melalui pihak universiti sebagai pihak neutral, bagi memastikan keputusan yang diambil adalah inklusif dan melibatkan pelbagai perspektif.
Jelasnya, ia termasuk Kajian Kesemua Parti Politik dan Pandangan pihak berkepentingan, termasuk orang awam.
“Pendekatan ini penting untuk memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan benar-benar mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat.
“Melalui pendekatan ini, Kerajaan Madani dapat memastikan bahawa setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan data yang sahih dan telus, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya. – UTUSAN