KUALA LUMPUR: Mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekitar 20 peratus.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian mekanisme itu masih di peringkat awal oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
Katanya, kajian itu merangkumi pelbagai aspek, termasuk mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik, serta kadar peningkatan penggunaan pengangkutan awam sekiranya caj ini diperkenalkan.
“Pengalaman dari bandar seperti London dan Stockholm menunjukkan bahawa pelaksanaan caj kesesakan mampu mengurangkan kesesakan sehingga 20 hingga 30 peratus, manakala kajian di New York dan Singapura mendapati sistem ini boleh menurunkan jumlah trafik sekitar 10 hingga 15 peratus.
“Supaya berjaya, kadar caj kesesakan tidak boleh terlalu rendah, dan hendaklah ditetapkan kepada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tersebut.
“Namun kerajaan juga tidak mahu caj tersebut menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) meminta dinyatakan mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya ia dilaksanakan dan jumlah penurunan kesesakan yang dijangka oleh kerajaan.
Zaliha berkata, kajian Prasarana Malaysia Bhd. pada tahun 2020 menunjukkan kerugian negara akibat kesesakan jalan raya adalah sebanyak RM20 bilion.
“Ini bermakna, dianggarkan bagi setiap satu peratusan kesesakan yang berjaya dikurangkan, terutamanya di Pusat Daerah Perniagaan (CBD) seperti Bukit Bintang, Lembah Pantai, Setiawangsa dan Wangsa Maju, kerajaan dapat mengurangkan kerugian negara sebanyak RM200 juta,” katanya.
Beliau memaklumkan, pengguna jalan raya lebih memilih untuk membawa kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam disebabkan kelemahan dalam ‘first mile’ dan ‘last mile’.
“Dalam hal ini, saya senada dengan Menteri Pengangkutan bahawa penguatkuasaan caj kesesakan tidak sesuai dilakukan sebelum sesebuah bandar raya mempunyai integrasi sistem pengangkutan awam yang lengkap
“Sehubungan dengan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian Caj Kesesakan oleh MIROS dan MGTC,” katanya. – UTUSAN