KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen diingatkan untuk tidak menggunakan persidangan Dewan Rakyat sebagai saluran untuk memaki hamun atau menabur fitnah kepada seteru politik mereka.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk bertegak urat tetapi ia adalah tempat untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Baginda bertitah, ahli-ahli Parlimen hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
Sultan Ibrahim menegaskan tindakan bermain politik atas setiap isu perlu dihentikan, selain dari sikap mementingkan parti atau kelompok sendiri yang perlu turut sama di noktahkan.
“Saya perhatikan, dalam persidangan Dewan pada tahun lalu, ahli-ahli Dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua.
“Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama. Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut kerana saya percaya setiap ahli sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing,” titah Seri Paduka di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda memuji peranan yang dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara.
“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh pengangguran kekal rendah.
“Pada tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor, dan jumlah perdagangan negara telah melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama,” titahnya. – UTUSAN