KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas selepas mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan isu perkauman.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Ahmad Marzuk terhadap cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengenai Akta Anti Diskriminasi Kaum adalah berbentuk hasutan.
Kata beliau, pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu akan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas yang berkaitan memandangkan kenyataannya dibuat semasa persidangan Dewan Rakyat.
“Saya akan bawa perkara itu kepada perhatian Kabinet kerana ini seperti satu percubaan hasutan. Sebagai Ahli Parlimen, beliau (Ahmad Marzuk) sepatutnya lebih bijak dan jangan mengapi-apikan sentimen dan cuba bangkitkan hal seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Marzuk yang mengatakan cadangan Guan Eng kepada kerajaan untuk menggubal Akta Anti Diskriminasi Kaum mampu meningkatkan ketegangan dan berkemungkinan berulangnya rusuhan berdarah 13 Mei 1969.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengingatkan pemimpin pembangkang untuk membahaskan membahaskan perkara yang boleh membantu memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan bukannya membangkitkan isu berunsur hasutan.
Katanya, ia selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan semua ahli Parlimen bahawa Dewan Rakyat perlu dijadikan pentas untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Saya lihat ramai ahli Parlimen terutama pembangkang sangat tidak bertanggungjawab. Mereka sepatutnya mendengar serta mengikut titah nasihat Tuanku supaya menggunakan dewan untuk membahaskan perkara yang benar-benar boleh bantu pupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan membina sebuah negara bangsa berjaya.
“Bukan cuba mengapi-apikan atau menakut-nakutkan (dengan unsur hasutan),” katanya.-UTUSAN