KUALA LUMPUR: Sebanyak 689 kejadian tanah runtuh direkodkan berlaku di Cameron Highlands dari tahun 1961 sehingga kini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sehubungan itu telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) di kawasan pusat peranginan itu.
Katanya, menerusi projek berkenaan, sebanyak 45 cerun kritikal berisiko tinggi telah dikenal pasti di kawasan Cameron Highlands.
“JMG sedang melaksanakan pemantauan secara tahunan 19 cerun kritikal bermula 2021 sehingga kini.
“Selain itu sebanyak lima lokasi di Cameron Highlands telah dipasang peralatan sistem amaran awal (early warning system),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) meminta kerajaan menyatakan statistik berkenaan perubahan iklim di kawasan Cameron Highlands dan jumlah kes kejadian tanah runtuh dan pemantauan pergerakan serta jumlah cerun berisiko tinggi.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri turut menjelaskan, berdasarkan rekod data meteorologi dari tahun 1969 hingga 2024, suhu Cameron Highlands menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir.
Tahun 2024 mencatatkan sejarah sebagai tahun terpanas di Cameron Highlands dengan purata suhu harian mencecah 18.91 darjah Celsius.
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86 darjah Celsius berbanding purata suhu harian jangka panjang (1991–2020), iaitu 18.05 darjah Celsius.
“Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Cameron Highlands ialah 27.9 darjah Celsius pada Mei 1998 manakala suhu terendah pula adalah 10.0 darjah Celsius pada Februari 1989,” ujarnya. – UTUSAN