KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,993 kandungan lucah di media sosial telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) antara tempoh 2022 sehingga 15 Februari lalu.
Pada masa sama, katanya, 3,670 laman sesawang telah dikenakan tindakan sekatan bagi tempoh yang sama.
“Bagi memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat, MCMC telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang telah diterbitkan oleh MCMC.
“Ia sekali gus dapat meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung langkah kementerian menangani iklan bahan lucah di media sosial, tabloid dan media massa dalam talian yang boleh menjadi faktor rangsangan berterusan untuk individu melakukan gangguan seksual dan berpotensi mengakibatkan rumah tangga berantakan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) akan menambah baik Kod Kandungan agar selari dengan pindaan Akta 588 dan Keselamatan Dalam Talian.
“Antaranya ialah kandungan yang melibatkan kanak-kanak (CSAM) mesti mengutamakan kebajikan mereka dan mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi, termasuk melalui imej atau deskripsi yang boleh mendedahkan identiti atau membahayakan mereka.
“Ini bukan sekadar isu etika tetapi juga soal menjaga maruah dan kesejahteraan masa depan individu yang terdedah,” katanya. – UTUSAN