KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,026 laman sesawang judi disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet setakat 1 Februari lalu .
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dalam masa yang sama, sebanyak 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial juga telah diturunkan.
“Bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang telah diterbitkan oleh MCMC dan seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Azahari bin Hasan (PN-Padang Rengas) meminta kementerian menyatakan langkah diambil untuk membanteras aktiviti judi dalam talian semakin berleluasa termasuk usaha pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan internet serta platform digital.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC di bawah bidang kuasa Akta 588 komited dalam memberikan kerjasama kepada PDRM daripada segi penurunan kandungan media sosial.
“Selain itu, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital turut dibuat bagi mempercepatkan proses siasatan yang berkaitan dengan kesalahan perjudian dalam talian,” ujarnya. – UTUSAN