KUALA LUMPUR: Sebanyak 443,259 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) atau bersamaan dengan 89 peratus berjaya diselesaikan.
Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, meskipun berdepan cabaran seperti kos pembinaan yang meningkat dan projek terbengkalai, kerajaan komited memastikan penyediaan RMM dapat direalisasikan mengikut perancangan.
“Kita juga banyak bekerjasama dengan agensi perumahan di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pemaju swasta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Richard Rapu yang meminta pihak kementerian menyatakan langkah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk menangani isu perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menyelesaikan isu projek terbengkalai, pihak kementerian komited dengan memperkukuh pemantauan projek serta memperkenalkan insentif baharu bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik.
“Kerajaan beri jaminan akan terus meningkatkan usaha bagi mencapai sasaran sepenuhnya menjelang akhir tempoh RMK12.
“Ini semua kita lakukan agar lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti pada harga berpatutan,” katanya. -UTUSAN