KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 buah sekolah baharu akan dibina di bawah Belanjawan 2025 bagi mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah-sekolah sedia ada.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata, langkah ini diambil bagi memastikan pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selesa dan kondusif.
“Pembinaan sekolah baharu ini diharap dapat menyelesaikan isu kepadatan yang kritikal di beberapa kawasan,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang memintanya untuk menyatakan langkah proaktif yang diambil kementerian bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, selain pembinaan sekolah baharu, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM100 juta untuk pembinaan kabin sementara menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Katanya, kabin ini akan digunakan sebagai ruang pembelajaran tambahan sementara menunggu pembinaan sekolah baharu siap.
“Langkah ini merupakan penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan tekanan kepadatan pelajar sehingga sekolah baharu dapat disiapkan.
“Walaupun kabin, tetapi kemudahan yang disediakan ini adalah selesa dan setanding dengan keselesaan di bilik darjah,” jelasnya. – UTUSAN