PARLIMEN: 238,000 penjawat awam rujuk AKPK selesai masalah hutang

PARLIMEN: 238,000 penjawat awam rujuk AKPK selesai masalah hutang

ZALIHA MUSTAFA- JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 238,000 orang penjawat awam mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) setakat 30 November tahun lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, itu antara pendekatan yang boleh diambil oleh ketua jabatan untuk memantau keadaan pegawai kerajaan yang mempunyai keterhutangan kewangan yang serius.

Selain itu, kata beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses menambah baik Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.1.3.9 Program Transformasi Minda (PTM) dengan memasukkan modul baharu iaitu Modul Pengurusan Kewangan Peribadi yang digubal bersama AKPK.

“Modul tersebut diperkenalkan sebagai langkah permulaan bagi membantu pegawai lantikan baharu mengurus kewangan mereka dengan lebih bijak dan cekap.

“Ia juga bertujuan memberikan pengetahuan asas tentang cara mengatur kewangan peribadi, mengurus perbelanjaan serta membuat keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin mengetahui perancangan kerajaan untuk membantu penjawat awam yang berdepan dengan masalah kewangan serius akibat bebanan hutang yang tinggi termasuk pinjaman peribadi meskipun mereka menikmati kestabilan pekerjaan dalam sektor awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN