PETALING JAYA: Seramai 22,000 pelajar di seluruh negara yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan menerima bantuan kit peranti atau tablet.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah murid dari 928 sekolah itu termasuk murid berkeperluan pendidikan khas di seluruh negara.
Katanya, pemberian bantuan kit peranti atau tablet itu bertujuan menyokong inisiatif kementerian untuk memastikan tiada murid berdepan masalah keciciran pembelajaran.
“Ini seterusnya menangani isu ketidakhadiran calon dalam peperiksaan SPM. Program ini turut mendapat kerjasama daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai rakan strategik,” katanya.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah melaksanakan pelbagai inisiatif dan intervensi untuk meningkatkan kehadiran murid khususnya semasa peperiksaan SPM.
“Namun demikian, usaha ini harus didukung oleh ibu bapa dan masyarakat awam sebagai kebertanggungjawaban bersama.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan memastikan anak-anak hadir menduduki peperiksaan SPM dan masyarakat juga harus membantu menyebar luas kesedaran tentang kepentingan sijil peperiksaan SPM kepada generasi muda,” katanya. – UTUSAN