PARLIMEN: 18 kes DNAA babitkan VIP sejak 2018

PARLIMEN: 18 kes DNAA babitkan VIP sejak 2018

AZALINA OTHMAN SAID - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 18 kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) diberikan kepada orang kenamaan (VIP) sejak 2018 sehingga 2024.

Berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, pada 2018 sebanyak dua kes DNAA direkodkan, 2019 (tiga), 2020 (lima), 2021 (satu), 2023 (lima) dan 2024 (dua).

Beliau berkata, keputusan melepas tanpa membebaskan adalah selaras Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu memberikan Peguam Negara kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

“Dalam menjalankan kuasa berkenaan, Peguam Negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) berhubung jumlah kes kenamaan yang diberi keputusan DNAA sejak lima tahun kebelakangan ini dan langkah mempertingkatkan ketelusan proses perundangan.

Azalina berkata, berdasarkan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 1 Tahun 2012-Kes Berprofil tinggi, terdapat beberapa kategori orang kenamaan yang disenaraikan.

“Pertama membabitkan Sultan, Raja, Tuan Yang Terutama dan kerabat dekat.

“Kedua ialah Menteri Kabinet, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara), Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Diraja atau Majlis Pangkuan Negeri (atau apa-apa nama majlis sedemikian digelar) dan pemimpin politik lain yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau parti politik.

“Ketiga, hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan, hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya manakala yang keempat, pegawai dan pegawai kanan kerajaan iaitu dalam kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional serta ketua jabatan Persekutuan atau negeri dan agensi kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, reformasi pelbagai peringkat sistem kehakiman sama ada dari segi perundangan, komunikasi atau prosedur sudah dilaksanakan dalam usaha memastikan ketelusan dalam proses perundangan melibatkan kes DNAA.

“Dalam perkara ini, kerajaan telah mewujudkan Kerjasama strategik bersama universiti-universiti tempatan untuk menjalankan kajian perundangan sebelum membuat sebarang cadangan penambahbaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya