KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,393 isu yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) berhubung salah laku penjawat awam bagi tempoh antara 2012 sehingga Januari tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, isu yang telah diselesaikan adalah 11,594 manakala isu yang masih dalam susulan adalah 799.
“Bagi tindakan pula, setakat 24 Februari tahun ini, 32 isu disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), 138 isu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 116 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasat (JKS), Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman (JKSD), diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Setakat 14 Januari lalu, JPA telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 311 pegawai. Antara tindakan yang telah diambil seperti amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja. Manakala terdapat dua orang penjawat awam yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) berhubung tindakan susulan beberapa agensi selepas audit dijalankan oleh JAN membabitkan salah laku pegawai kerajaan. – UTUSAN