Papar harga ubat di klinik swasta langgar peraturan, tidak rasional

Papar harga ubat di klinik swasta langgar peraturan, tidak rasional

PERATURAN mewajibkan memaparkan harga ubat adalah menyalahi peraturan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS). - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peraturan mewajibkan harga ubat dipaparkan di klinik swasta bermula tahun ini dijangka mencetuskan perang harga dalam kalangan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

Hal ini disebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah meletakkan harga siling atau mengawal harga ubat.

Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, peraturan mewajibkan memaparkan harga ubat adalah menyalahi peraturan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

Katanya, walaupun pihaknya menyambut baik pelaksanaan itu, namun daripada sudut pandang klinik swasta, ia tidak rasional dan membebankan.

“Pesakit tetap tidak akan dapat menganggarkan jumlah kos rawatan dengan hanya melihat pada harga ubat semata-mata, kerana kos terakhir di klinik swasta terdiri daripada tiga komponen iaitu konsultasi, pemeriksaan makmal dan ubatan.

“Meletakkan harga pada ubat-ubatan di klinik swasta hanya akan menambah beban dan tidak memberikan impak yang signifikan dalam membantu pesakit mengetahui harga rawatan yang diberikan kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada November tahun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan KKM akan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta untuk memaparkan harga ubat di premis masing-masing mulai tahun ini.

Menurutnya, langkah itu bagi meningkatkan ketelusan dan membendung harga ubat dinaikkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Dengan cara ini, caj ubat-ubatan dalam tuntutan insurans boleh disemak supaya harga ubat tidak melebihi harga yang dipaparkan dan caj ubat-ubatan tidak sewenang-wenangnya dinaikkan,” katanya.

Tambah Dr. Boi Saidi, dasar memaparkan harga ubatan lebih sesuai dilaksanakan terhadap kedai jualan dan farmasi, namun tidak signifikan untuk klinik swasta.

“Pada masa sama, kehadiran pihak berkuasa melakukan serbuan atau pemeriksaan ke atas klinik-kinik adalah suatu tindakan yang menyusahkan. Ini juga menambah pengurusan mikro terhadap urusan sehari klinik swasta.

“Ada pihak seperti organisasi penjagaan terurus (MCO) dan pentadbir pihak ketiga (TPA) menetapkan harga ubatan atau harga rawatan sehingga kos ubatan pesakit yang menggunakan panel dan walk-in ada sedikit perbezaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya