KUALA LUMPUR: Sejarah animasi tempatan bakal menjadi tumpuan menerusi Pameran Sejarah Animasi Malaysia 2025 yang berlangsung di Galeri 2, Muzium Negara, bermula esok hingga 28 Februari ini.
Pengerusi ANIMAS, Zahrin Zamzuri berkata, pameran bertemakan “Dari Idea Ke Realiti” ini memberi penghargaan kepada tokoh dan karya yang menjadi tonggak utama industri animasi negara.
“Melalui pameran ini, pengunjung dapat menyaksikan evolusi animasi Malaysia, sekali gus menyemarakkan minat generasi muda terhadap industri ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain pameran, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan, termasuk bengkel seni animasi dan komik oleh Dr. Jonsuraya serta bengkel karikatur bersama Kak Aina, seorang karikaturis dan pempengaruh TikTok.
“Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti mewarna watak animasi serta memahami proses penghasilan animasi tempatan,” katanya.
Menurutnya, program ini terbuka kepada orang ramai dan diharapkan dapat memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap seni animasi serta peranannya dalam membentuk identiti budaya negara.
Majlis perasmian itu akan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Digital Transformasi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Fadzli Abdul Wahit.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pengerusi ANIMAS, Zahrin Zamzuri di talian 012-3917626.