Pajak langkah cepat peroleh aset pertahanan - Mohamed Khaled - Utusan Malaysia

Pajak langkah cepat peroleh aset pertahanan – Mohamed Khaled

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membelanjakan RM16 bilion untuk memajak helikopter tentera adalah disebabkan soal ketersediaan dana kerajaan dan kesiapsiagaan bagi mendapatkan aset baharu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat kewajaran bagi kerajaan untuk melaksanakannya memandangkan pendekatan lama untuk memperoleh aset akan memakan masa yang lama berbanding kaedah pajakan.

Jelasnya, langkah itu juga penting supaya tidak ada jurang antara Malaysia dengan negara luar selain tidak mempunyai masalah dari aspek menyediakan peranan dan tanggungjawab kementerian bagi tujuan keselamatan dan pertahanan negara.

“Kewajaran adalah soal ketersediaan (kerajaan). Kalau kita nak tunggu pendekatan biasa iaitu menunggu peruntukan kepada kerajaa, maka sampai bila-bila kita akan ambil masa yang lama atau pada akhirnya kita langsung tidak ada aset-aset strategik seperti helikopter yang kita lakukan pajakan hari ini.

“Kedua, soal kesiapsiagaan. Kita berhadapan dengan cabaran apabila kita menggunakan kaedah perolehan biasa kerana ini berkait soal penyelenggaran aset-aset tersebut. 

“Kadang-kala kita sudah membeli aset tetapi kita tidak dapat memastikan kesiapsiagaannya untuk berada pada paras yang sememangnya dikehendaki.

“Kita mahu semua aset kita berada pada paras kesiapsiagaan 70 peratus. Tetapi kajian menunjukkan bahawa apabila kita membeli aset, dalam banyak hal, kesiapsiagaan kita berada pada paras bawah 40 peratus.

“Hal ini kerana, apabila sudah membeli aset, kementerian juga perlu mendapatkan peruntukan untuk melaksanakan penyelenggaraan, pembaikan, dan operasi (MRO) yang kebiasaannya kita tidak menerima jumlah yang dipohon oleh pihak tentera,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga telah meletakkan syarat kepada syarikat penyedia aset pertahanan itu agar kesediaan aset berada pada paras 85 peratus.

Jelas beliau, pendekatan itu dilakukan bagi memastikan masa pusingan balik pesawat yang diselenggara mematuhi jadual dan mencapai nilai jam penerbangan yang dipersetujui.

“Jadi, di bawah pendekatan ini, kesiapsiagaan pesawat setiap bulan akan disusun menggunakan konsep kuasa mengikut jam (PBH) dan ini dapat dilakukan kerana kesemua alat-alat ganti mestilah disediakan oleh syarikat pada setiap masa dan bukan dibeli hanya apabila diperlukan.

“Ini bermakna, syarikat ini perlu menyediakan alat ganti. Sekiranya syarikat tersebut gagal menyediakan perkhidmatan helikopter, maka mereka akan dikurangkan bayaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya