Pahang belanja RM1.52 bilion bina 15,742 rumah

Pahang belanja RM1.52 bilion bina 15,742 rumah

MODEL rumah PR1MA Pahang yang dijual pada harga RM150,000 seunit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kerajaan negeri mem­belanjakan kira-kira RM1.52 bilion bagi membina sebanyak 15,742 unit rumah di bawah skim perumahan negeri sehingga Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Arif berkata, pelbagai skim rumah bantuan rakyat dan mampu milik disediakan khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, miskin tegar, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta golongan muda.

“Skim itu merangkumi Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang, Rumah Makmur, Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP), Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan Rumah Mesra Pahang.

“Turut dilaksanakan Rumah Pahang di bawah Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) secara sewaan atau jual beli dan Skim Rumah Pahangku yang dilaksanakan di atas tanah persendirian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohammad Fakhruddin berkata, kelmarin sebanyak 58 unit rumah PR1MA Pahang dan 57 Rumah Makmur di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di­serahkan kepada penerima yang lama menantikan detik bersejarah itu.

Katanya, setiap rumah itu bukan sekadar dinding dan atap tetapi lambang harapan dan peluang baharu kepada setiap penerimanya untuk memulakan kehidupan lebih baik.

Menurutnya, kerajaan ne­geri juga akan melancarkan RRP fasa lima dan surat tawaran akan diserahkan kepada peserta-peserta yang dinilai layak melalui Jawatankuasa Focus Group Daerah termasuk peserta daripada Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).

Beliau mengucapkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lipis, Cameron Highland, Pekan, Temerloh, Raub dan ORACO atas komitmen penuh menyiapkan RRP fasa empat.

“Program ini bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri tetapi juga komitmen untuk memastikan setiap rakyat memiliki kediaman selesa, persekitaran yang harmoni dan kemudahan asas yang mencukupi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya