Padah bakar motosikal, penganggur dipenjara 12 tahun

Padah bakar motosikal, penganggur dipenjara 12 tahun

End AFIF Jazimin Jamaluddin dipenjara 12 tahun selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan api ke atas motosikal dan beranda kayu milik penduduk Kupang di Mahkamah Sesyen Baling. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang lelaki dipenjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan membakar lima motosikal serta beranda kayu di Kupang, sejak Disember tahun lalu.

Afif Jazimin Jamaluddin, 23, yang tidak bekerja dan beralamat di Kampung Pisang, Kupang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman selama empat tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkannya berjalan secara berasingan dari tarikh tangkap, 20 Januari lepas.

Tertuduh yang dalam keadaan tenang sepanjang prosiding hanya menggeleng kepala ketika ditanya sama ada mahu membuat rayuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar  Modenas Kriss dan SM Sport milik Mazlan Saad, 50, serta Honda EX5 milik Nafisah Saad, 43, di sebuah rumah di Kampung Pisang, Kupang kira-kira pukul 3.30 pagi, 24 Disember lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan membakar sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik Wahab Md. Hasan, 87, di Kampung Jerai, Kupang kira-kira pukul 3.15 pagi, 27 Disember lalu.

Dia turut dituduh membakar sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan beranda kayu milik Zaherah Jusoh, 59, di Kampung Hangus, Kupang kira-kira pukul 3.30 pagi, 2 Januari lalu.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin dalam rayuannya menyatakan tertuduh belum berkahwin dan masih tinggal serta menjaga ibu bapanya yang masing-masing berusia 43 dan 52 tahun.

“Saya memohon mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang menjimatkan masa. Saya percaya tertuduh telah insaf dan saya memohon hukuman berbentuk penjara paling minimum dan berjalan serentak dari tarikh tangkap,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh. 

Utusan Malaysia pada 22 Januari lalu melaporkan dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar motosikal sehingga memusnahkan sembilan buah rumah di Kupang, sejak pertengahan Disember lalu hingga awal bulan lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan tindakannya membakar rumah dan kenderaan itu adalah akibat perasaan dendam.

Modus operandi suspek adalah mencurahkan bahan api petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum merebak ke rumah penduduk. Kebakaran sembilan rumah termasuk dua kenderaan dan 18 motosikal itu melibatkan kerugian berjumlah RM770,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya