PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pihak berkaitan berhubung siasatan Pengurusan Lapangan Terbang Awam dan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding selama dua hari bermula esok akan memanggil beberapa pihak termasuk Kementerian Kewangan (MOF) dan MAHB bagi memberi keterangan.
“Petang (esok) kita panggil Kementerian Pengangkutan dan Khazanah, diikuti Selasa akan panggil MOF dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KWSP, kita mulakan prosiding.
“Pengurusan lapangan terbang ini isu besar daripada segi kenaikan tiket, isu Aerotrain sampai hari ini tidak selesai. Prosiding akan berlaku dalam tempoh yang panjang sebab banyak pihak kita panggil, bukan hanya isu penjualan saham semata-mata tetapi lebih dari itu.
“Kita juga akan panggil Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan pada hari Selasa dan MAVCOM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Lagu, Kain Uniform dan Sri Guaman di ibu pejabat Bersatu, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB. – UTUSAN