KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan supaya Majlis Profesor Negara (MPN) bergabung dengan badan pemikir lain seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) serta agensi berkaitan sekali gus memainkan fungsi sebagai pemikir kepada kerajaan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerajaan boleh melihat keperluan kerjasama tersebut yang seterusnya menyelaras fungsi sebagai badan pemikir kepada kerajaan yang merangkumi pelbagai bidang.
Katanya lagi, perkara itu terkandung dalam Penyata PAC berhubung Tindakan Susulan Jabatan Perdana Menteri dan MPN Bagi Syor-Syor Penyata PAC Berhubung MPN Di awah Jabatan Perdana Menteri yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Penyata itu bagi memaklumkan tindakan susulan diambil Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan MPN terhadap syor PAC dalam Penyata PAC berhubung Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri (DR38/2024) yang dibentangkan di Parlimen pada 7 November 2024.
Mengulas keputusan kerajaan sama ada untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) atau diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Mas Ermieyati berkata, PAC mengambil maklum satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung penetapan hala tuju status MPN disediakan JPM untuk diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau berkata, PAC memohon supaya JPM dapat mengedarkan dengan segera sebaik keputusan Jemaah Menteri diperoleh dan memaklumkan kepada PAC secara bertulis terhadap keputusan kerajaan berhubung status MPN itu.
“Ini juga berkait pindaan Artikel Pertubuhan MPN yang kini sedang dalam tindakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang mana PAC mengambil maklum pihak SSM turut menunggu keputusan Jemaah Menteri berhubung kedudukan MPN, sebelum meluluskan pindaan artikel berkenaan terutama mengenai penyertaan wakil kerajaan sebagai Ahli Lembaga Pengarah MPN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berhubung permohonan untuk mendapatkan kelulusan menteri berkaitan pembayaran elaun Lembaga Pemegang Amanah (LPA) dan pembayaran hutang operasi MPN yang tertunggak, Mas Ermieyati berkata, PAC dimaklumkan permohonan itu sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan dan JPM disaran untuk menyusuli permohonan itu dengan segera.
“JPM disarankan supaya lebih proaktif dan serius melaksanakan aktiviti pemantauan terhadap operasi/ urus tadbir syarikat di bawah JPM itu melalui langkah penambahbaikan yang digariskan dalam memastikan kepentingan pihak berkaitan sentiasa dipelihara, terutama di pihak kerajaan,” katanya.
PAC menjalankan dua prosiding berhubung penemuan audit berkaitan tadbir urus MPN yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan pada 4 Julai 2024.
Jabatan Audit Negara merumuskan bahawa objektif penubuhan MPN berdasarkan Artikel Pertubuhan pindaan 26 Ogos 2019 tidak tercapai, amalan tadbir urus korporat berada pada tahap yang tidak memuaskan dan kesinambungan operasi serta sumber kewangan MPN tertakluk kepada penerimaan peruntukan daripada kerajaan. – UTUSAN