KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara keseluruhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehubungan itu disyorkan untuk melaksanakan kajian analisis kos faedah yang lebih terperinci memandangkan pelaksanaan MLFF membabitkan anggaran kos sebanyak RM3.46 bilion.
Kata beliau, pelaksanaan MLFF perlu dilaksanakan dengan kaedah terbaik dengan tiada sebarang implikasi kos kepada kerajaan dan pengguna.
Selain itu, katanya, PAC turut mengesyorkan Kementerian Kerja Raya untuk menetapkan atau memuktamadkan hala tuju sistem MLFF dengan segera selepas perjanjian pelantikan tamat pada 16 Disember lalu.
“Syor ketiga PAC ialah Kementerian Kerja Raya perlu mendapatkan nasihat atau ulasan terperinci daripada Kementerian Kewangan atau Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi mengesahkan kaedah perolehan terbaik bagi pelaksanaan MLFF.
“PAC berpendapat adalah tidak wajar kerajaan menandatangani sebarang perjanjian yang memberi impak tinggi dan besar semasa kerajaan sementara (caretaker). Sebagai langkah segera, LLM bersama syarikat konsesi perlu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan tol di setiap plaza tol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 26 Februari tahun lalu, PAC memulakan prosiding berhubung MLFF susulan pengumuman kerajaan pada Mac 2023 bahawa sebanyak RM3.46 bilion akan dibelanjakan bagi pelaksanaan sistem itu.
Kementerian Kerja Raya menandatangani perjanjian pelantikan ‘central tolling company’ (CTC) dengan sebuah syarikat pada 17 November 2022, sekali gus mendapat bantahan daripada Persatuan Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM).
Mas Ermieyati pada masa yang sama berkata, PAC sudah mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu terbabit sebanyak enam kali sejak 26 Februari hingga 19 November 2024.
Beliau berkata, saksi yang dipanggil membabitkan Ketua Setiausaha dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang berkhidmat pada Disember 2021 hingga September 2023 serta Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan kementerian terbabit.
“PAC juga memanggil Ketua Pengarah UKAS; Ketua Pengarah LLM; Presiden PSKLM dan Pengarah Projek Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd,” katanya.
Jelasnya, hasil prosiding itu, PAC membuat 11 rumusan antaranya MLFF adalah inisiatif bagi mengatasi isu kesesakan kenderaan di plaza tol lebuh raya dan mendapati projek ini membabitkan implikasi kewangan yang tinggi. – UTUSAN