KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan sesi pendengaran awam kedua bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam, esok.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sesi tersebut akan diadakan di Dewan Bankuet Parlimen dan pendaftaran bermula seawal 8 pagi.
“Ini merupakan sesi kedua untuk kita mendapatkan maklum balas, maklumat dan pandangan daripada pelbagai peringkat iaitu sama ada rakyat kebanyakan, profesional atau yang terlibat dalam industri insurans.
“Orang ramai yang masih belum mendaftar dan mahu bersama dalam sesi pendengaran awam esok, masih boleh berbuat demikian (daftar menggunakan pautan disediakan) atau hadir ke dewan terus secara walk-in,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan hingga memaksa BNM campur tangan dalam menangani inflasi tersebut.
Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi hanya menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus sehingga akhir 2026.
Jaminan itu antara empat langkah interim dipersetujui dengan industri insurans dan takaful untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) mereka yang akan dilaksanakan sehingga akhir 2026.
Menurut bank pusat, bagi pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) akan menangguhkan pelarasan premium selama satu tahun dari ulang tahun polisi mereka. – UTUSAN