PAC akan panggil Anthony Loke isu Aerotrain

PAC akan panggil Anthony Loke isu kelewatan pemasangan Aerotrain

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka di Taman Tambak Paya Harmoni, Ayer Molek, sambil diperhatikan Mas Ermieyati, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagi memberikan keterangan dalam prosiding berhubung beberapa isu melibatkan kementerian itu.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, selain isu kelewatan pemasangan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kerugian RM500 juta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam urusniaga jual beli saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) juga akan diberi perhatian.

Menurutnya, PAC telah membuat senarai prosiding menjelang minggu kedua Februari ini apabila Dewan Rakyat bersidang dan ramai lagi yang akan dipanggil untuk prosiding berkenaan.

“PAC telah menyediakan ter­ma rujukan untuk ahli-ahli dan ia telah dipersetujui untuk prosiding yang menjurus kepada banyak perkara termasuk kerugian KWSP seba­nyak RM500 juta serta beberapa perkara lagi.

“Isu ini mungkin mengambil masa yang agak panjang kerana semua yang dibangkitkan berkaitan isu rakyat terlalu banyak kerana perlu memanggil saksi-saksi untuk prosiding tersebut.

“Anthony Loke mungkin akan dipanggil ke prosiding kerana sebelum ini Perdana Menteri pun pernah datang untuk prosiding PAC jadi sesiapa yang kita rasa perlu dipanggil, mereka perlu datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka di Taman Tambak Harmoni di sini semalam.

Hadir sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mas Ermieyati berkata, isu KWSP adalah antara prosiding lima isu baharu yang dijadualkan akan dijalankan oleh PAC.

Menurutnya, isu pembangunan tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah prosiding pertama yang akan dijalankan.

“Sebelum disusuli cadangan perolehan kereta api elektrik (EMU) secara pajakan di bawah Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB),” ujarnya.

Jelasnya, isu pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan, MAHB, Khazanah Nasional dan KWSP adalah prosiding ketiga yang akan dijalankan nanti.

Menurutnya, prosiding juga membabitkan peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

PAC menyasarkan untuk membentangkan 25 laporan dan mengadakan lebih 150 mesyuarat membabitkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan juga laporan Ketua Audit Negara berbanding 148 mesyuarat dengan 22 laporan tahun lalu.

“Berhubung pelaburan Khazanah yang rugi, PAC telah menetapkan prosiding berhubung pelaburan domestik Khazanah untuk mendapatkan penjelasan dan keterangan dari­pada syarikat dana kekayaan negara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya