KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan sesi pendengaran awam buat pertama kali bagi membincangkan isu peningkatan kadar premium insurans kesihatan, takaful, serta caj perubatan hospital swasta dan kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata, sesi ini akan dikendalikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan semua maklum balas serta perbincangan yang diterima akan dimasukkan ke dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen.
“PAC bersikap terbuka mendengar pandangan daripada semua pihak, termasuk wakil pengguna, agensi swasta dan persatuan yang terlibat dalam sektor kesihatan dan insurans,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, sesi pendengaran awam tersebut akan diadakan secara tertutup pada 14 Februari di Pulau Pinang dan 21 Februari di Dewan Banquet Parlimen, Kuala Lumpur.
“Kita hanya bantu kerajaan, maka oleh itu kita adakan sesi pendengaran ini, dan kumpulkan segala maklum balas untuk dibentangkan nanti ke Parlimen,” katanya. – UTUSAN