KUALA TERENGGANU: Sebanyak 111 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Tahun Baharu Cina 2025 bermula 20 Januari lalu hingga malam tadi.
Pengarahnya, Zamri Samion berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 95 kenderaan adalah motosikal, tujuh kenderaan persendirian, lima lori dan empat buah kereta.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 8,682 kesalahan dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 39,219 kenderaan di seluruh negeri ini.
“Sepanjang operasi ini, kita menahan sebuah bas kerana kesalahan teknikal itu kerosakan pada sistem brek yang amat berbahaya kepada penumpang.
“Pemeriksaan ini dijalankan pada 3 Februari lalu di terminal bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan syarikat operator bas telah membaiki kerosakan itu dalam tempoh sejam,” katanya selepas meninjau operasi hari terakhir Op Tahun Baharu Cina 2025 di sini, malam tadi.
Menurut Zamri, antara kesalahan popular yang dilakukan pengguna jalan raya sepanjang operasi itu adalah Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh iaitu sebanyak 1,287 kes diikuti tiada perlindungan insurans (1,110 kes).
Selain itu, beliau berkata, kesalahan kerana tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula sebanyak 885 kes, tidak patuhi isyarat lampu merah (720 kes), cermin gelap (569 kes) dan tidak pakai topi keledar (524 kes).
“Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar iaitu 121 kes, lebih muatan iaitu 49 kes dan 10 kes menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu,” katanya. – UTUSAN