PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya tidak akan membekukan akaun bank tiga selebriti yang dipanggil berhubung Op Sky.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, selebriti itu hanya dipanggil membantu siasatan kerana mereka dilantik sebagai ‘influencer’ (pempengaruh) bagi syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Op Sky itu.
“Saya kena jelaskan bahawa ia tidak ada kena mengena pun dengan akaun mereka. Kita tidak akan bekukan akaun mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Azam juga mengesahkan tiga selebriti tanah air itu ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zin dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini untuk dirakam keterangan.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata, pihaknya tidak mempersoalkan jumlah bayaran diberikan syarikat perunding kewangan kepada selebriti itu dan ia bukan isu utama.
Namun, katanya, jika ia membabitkan jumlah pelaburan besar bagi membayar selebriti berkenaan, maka ia mungkin menimbulkan kemusykilan.
“Ketika ini, siasatan akan melihat kepada semua sudut dan kami akan melihat sama ada keterangan mereka (selebriti) ini dapat membantu siasatan atau tidak.
“Buat masa ini, hanya tiga selebriti dikenal pasti dan dipanggil bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.
Katanya, pihaknya juga akan menyiasat kenapa syarikat perunding kewangan berkenaan menggunakan selebriti berkenaan untuk mempromosikan pakej-pakej ditawarkan.
Mengulas perkembangan siasatan Op Sky itu, Azam berkata, setakat ini, akaun-akaun bank yang dibekukan kini mencecah RM18 juta.
Menurutnya, aspek siasatan turut mendedahkan peminjam wang yang kebanyakannya penjawat awam turut digalakkan untuk melabur semula dalam syarikat perunding kewangan berkenaan.
“Ini satu lagi perkara yang kita perlu lihat sama ada ia mungkin melakukan satu lagi kesalahan oleh syarikat berkenaan iaitu pengambilan deposit secara haram.
“Kami akan meneruskan siasatan juga mengenai perkara itu walaupun ia bukan di bawah akta pencegahan rasuah,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Op Sky.
Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam. – UTUSAN