KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya terdapat pemilik kilang haram menjalankan kegiatan sisa elektronik (e-waste) dibiayai individu warga asing.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, siasatan mendapati terdapat kilang yang didaftarkan oleh warga tempatan, namun diuruskan proksi warga asing.
“Siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kes terbabit.
“Bagaimanapun, kita percaya sindiket membawa masuk barangan berkenaan dari negara luar melalui pelabuhan dengan menggunakan laluan laut,” katanya dalam sidang akhbar Op Hazard di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Sabtu lalu, dilaporkan serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama JAS membongkar penemuan kira-kira 50 tan peluru serta kelongsong yang dipercayai akan dileburkan untuk menjadi jongkong melalui Op Hazard di sebuah kilang di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat.
Timbalan Pengarah KDNKA Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dilaporkan berkata, Op Hazard tersebut dijalankan hasil risikan pihaknya terhadap kilang memproses sisa e-waste secara haram yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga tanpa lesen yang sah.
Tambah Azmi, soal siasat mendapati, e-waste dihantar menggunakan kontena melalui jalan darat ke kilang pemprosesan haram terlibat.
Jelas, kebanyakan kontena yang membawa masuk e-waste dipercayai diikrarkan palsu sebagai besi, barang lusuh dan sisa plastik.
“E-waste yang siap diproses menjadi bentuk jongkong seperti besi, timah dan tembaga akan dieksport semula ke luar negara. Proses ini membabitkan peleraian dan pengasingan bahan berharga dengan logam berharga tanpa lesen yang sah daripada JAS.
“Sisa e-waste mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium yang mempunyai nilai kitar semula yang tinggi,” katanya.
Azmi berkata, pihaknya juga mengesan objek berbahaya seperti sisa amunisi menerusi Op Hazard yang dijalankan pada 15 Februari lalu.
“Namun penemuan dan ancaman keselamatan sebenar adalah bahaya sisa e-waste yang diproses secara haram ini yang mengandungi bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, beryllium dan pelbagai lagi yang jauh lebih memberikan kesan buruk kepada negara.
“Sisa e-waste berupaya untuk membahayakan kehidupan, menjejaskan kesihatan kita dan menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, polis sedang menyiasat negara asal sisa amunisi yang dibawa ke negara ini sebelum ditempatkan di kilang haram.
“Sisa amunisi dipercayai telah berada di kilang haram kira-kira kurang sebulan yang lalu dan dihantar bersama barangan e-waste yang lain. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk menentukan sumber dan tujuan sisa amunisi berkenaan ditempah dan dihantar kepada kilang,” katanya.
Tambahnya, polis akan mengadakan perbincangan untuk tindakan susulan berkaitan isu e-waste dengan agensi lain antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). – UTUSAN