OKU mental nafi amang seksual remaja lelaki 16 tahun - Utusan Malaysia

OKU mental nafi amang seksual remaja lelaki 16 tahun

MUHAMMAD Faiz Zaini didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mental didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki 16 tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Faiz Zaini, 37, yang juga seorang jurulatih badminton bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh kemaluan, meraba dada dan bahagian belakang badan mangsa selain mencium pipi bagi maksud seksual.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Seri Rapat, Ipoh pada pukul 7.15 petang, 20 Januari 2025 dan 2.30 pagi, 21 Januari 2025.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan jaminan namun sekiranya dibenarkan mahkamah, beliau mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan bekerja sebagai jurulatih badminton dengan pendapatan bulanan RM700 selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.

Katanya, dia juga menanggung dua anak berusia dua dan satu tahun yang kini dijaga bekas isteri dengan memberi nafkah bulanan sebanyak RM500.

“Saya minta kurangkan jaminan seringan-ringannya sebab saya ada gangguan ketika itu. Saya ada kad OKU dan telah tiga kali masuk Tanjung Rambutan. Saya juga sudah sebulan tidak makan ubat,” katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 12 Mac depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya