Nyaris maut dirempuh lori ketika cat rumah

Nyaris maut dirempuh lori ketika cat rumah

ARIF IZZUDDIN Nor Azhar menunjukkan keadaan tembok yang pecah selepas sebuah lori lima tan tanpa pemandu terbabas dalam pagar rumahnya di Taman Krubong Jaya, Krubong, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Mujur ada jarak seinci, kalau tidak mungkin saya sudah terbunuh”.

Demikian luahan Arif Izzuddin Nor Azhar, 21, yang nyaris maut selepas dirempuh sebuah lori lima tan yang terbabas ke dalam kawasan rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini, kelmarin.

Katanya, ketika kejadian dia sedang mengecat tembok luar rumah untuk persiapan majlis kenduri kesyukuran yang bakal berlangsung Sabtu ini.

“Saya terdengar bunyi siren kira-kira pukul 4.30 petang yang semakin lama semakin kuat. Kemudian saya melihat sebuah lori sedang dikejar kereta peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di jalan lurus berjarak lebih kurang 200 meter dari rumah.

“Semasa lori sedang bergerak laju, seorang lelaki tiba-tiba melompat keluar menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan. Saya terus panjat tembok untuk menyelamatkan diri tetapi tidak menyangka lori itu terus merempuh pagar rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, seorang lelaki nekad melompat keluar daripada lori dipandunya selepas terlibat dalam insiden dikejar anggota penguat kuasa JPJ sejauh 25 kilometer (KM) di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lori dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dikesan di Lebuh SPA kira-kira pukul 4.30 petang dan diekori sejauh 25 KM iaitu selama satu jam.

Katanya, anggota penguat kuasa telah mengarahkan pemandu itu memberhentikan kendaraan tetapi gagal.

Tambah Arif Izzuddin, ketika kejadian dia berdiri kurang satu meter dari bahagian tepi kenderaan pacuan empat roda milik bapanya yang turut dilanggar lori berkenaan.

Menurut graduan Kolej Vokasional Melaka Tengah itu, impak rempuhan itu menyebabkan pintu pagar, kereta dan tembok rumah mengalami kerosakan.

Katanya, dia kemudian menjerit ke arah pemandu lori yang cuba melarikan diri sebelum bertindak mengejarnya.

“Saya hanya dengar dia cakap ‘jangan tangkap, jangan tangkap’. Dia bertindak keluar dari lori kerana sudah tiada tempat untuk dia pergi selain telah memasuki jalan mati.

“Mujur insiden semalam tidak melibatkan kehilangan nyawa kanak-kanak. Ini kerana ramai anak-anak jiran dan penduduk taman menjadikan laluan ini untuk mereka beriadah kerana terletak bersebelahan padang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya