KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat menyarankan penyanyi agar menyanyi mengikut keselesaan dan kemampuan vokal dengan menggunakan teknik yang betul.
Katanya, perkara itu penting bagi mengelakkan kerosakan kekal pada pita suara yang menjadi igauan buruk ramai penyanyi.
“Vokal setiap manusia ada ‘range’ tersendiri. Suara perempuan ada tinggi rendahnya. Contohnya saya, menyanyi ikut range suara sendiri. Saya tak boleh nyanyi ikut range orang lain yang mungkin lebih rendah.
“Contoh lain, saya nak nyanyi lagu Madah Berhelah dalam skala G major berbanding Ziana Zain yang mungkin selesa menyanyikan lagu itu dalam skala F major.
“Adakah itu menjadikan saya penyanyi lebih baik? Tidak. Ia hanya membuatkan saya menyanyikan lagu itu dalam zon keselesaan saya,” katanya.
Syafinaz berkata demikian dalam sidang media konsert Classical Treasures di Dewan Filharmonik Petronas, baru-baru ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan segelintir penyanyi yang menyanyi diluar kemampuan vokal sehingga mengakibatkan kecederaan pada pita suara mereka.
Dalam masa yang sama, Syafinaz juga berpandangan tidak timbul sebarang isu sekiranya penyanyi menurunkan key agar mereka menyanyikan sesebuah lagu bernada tinggi dalam keadaan selesa.
“Nyanyi ikut kemampuan. Ada orang mahu nyanyi lagu Mariah Carey tapi suara mereka bukan ‘burung’ (tinggi). Jadi tak boleh. Lebih baik mereka turunkan key agar nyanyian mereka tidak buruk.
“Kita perhatikan ada penyanyi veteran yang terpaksa turunkan key ketika menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, nyanyian mereka masih sedap didengar bukan? Jadi apa masalahnya turunkan key?,” ujarnya.
Syafinaz bakal bergabung dengan pemuzik Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) dibawah bimbingan konduktor Gerard Salonga dalam konsert Classical Treasures yang akan dipentaskan di DFP pada 5 April ini.
Tiket berharga antara RM379 hingga RM499 boleh ditempah menerusi 03-23317007 atau emel [email protected]. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang www.mpo.com.my. – UTUSAN