CYBERJAYA: Seorang pengarah reka bentuk, Norliyana Nasir, 35, sama sekali tidak menyangka pembelian rumah pertamanya membawa tuah selepas diumumkan sebagai pemenang menerusi Kempen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 60 Tahun yang melayakkannya membawa pulang sebuah Perodua Bezza.
Menurut Norliyana yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu, dia membeli unit Aludra Residensi iaitu projek rumah bandar PKNS di Selangor Cyber Valley (SCV) di sini pada Oktober tahun lalu dan menjadi antara pembeli yang telah disenarai pendek untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.
“Saya sangat bersyukur dan gembira serta tidak menyangka dapat memenangi hadiah sebuah kereta dengan pembelian rumah.
“Ini juga merupakan rumah pertama saya dan kereta dimenangi ini memang saya akan gunakan untuk urusan harian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci kereta Pemenang Kempen PKNS 60 Tahun Giveaway di Galeri Jualan SCV di sini hari ini.
Kempen PKNS 60 Tahun Giveaway yang berlangsung pada 15 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu diadakan khusus bagi menghargai pembeli rumah PKNS yang memenuhi terma dan syarat ditetapkan.
Seramai 31 individu yang layak disenarai pendek untuk menyertai cabutan pemenang yang diadakan pada 12 Februari lalu di Ibu Pejabat PKNS.
Kempen hasil inisiatif Bahagian Jualan dan Pemasaran PKNS itu juga bertujuan untuk meningkatkan jualan serta menggalakkan pembelian produk hartanah melalui tawaran hadiah yang menarik.
Sementara itu, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS, Fadli Mohd Ariff berkata, kempen tersebut mencerminkan komitmen PKNS dalam usaha memberikan penghargaan kepada para pembeli rumah PKNS, selain sebagai salah satu cara untuk mengekalkan hubungan baik dengan mereka.
Katanya, pada masa sama, PKNS juga berjaya mencapai objektif mereka menerusi kempen yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-60 PKNS itu.
“Kita punya penerimaan ‘leads’ tiga kali ganda, angka jualan dan tempahan kita juga meningkat. Penganjuran seperti ini turut memberi kesedaran bahawa PKNS ini masih ada dan masih aktif dengan menawarkan produk-produk yang bagus salah satunya seperti di Selangor Cyber Valley ini.
“Seperti di Cyberjaya ini, kita mahu tawarkan kepada para pembeli bahawa produk PKNS ini adalah unik dan boleh dibanggakan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, PKNS kekal komited untuk meneruskan penganjuran kempen yang lebih inovatif dengan ganjaran menarik pada masa hadapan. – UTUSAN