PERJUANGAN pelakon, Nora Danish, untuk mendapatkan kediaman sendiri yang selesa penuh onak liku apabila pernah ditipu seorang kontraktor yang gagal menyiapkan projek ubah suai dalam tempoh dijanjikan.
Selama empat bulan Nora bagai hidup merempat kadang tidur di rumah ibu atau hotel bersama anak-anak. Baju-baju pula terpaksa diletakkan di dalam beg IKEA bagi memudahkan proses berpindah. Jika mahu mencari pakaian perlu korek satu per satu.
Kini, hampir setahun sudah berlalu daripada kejadian yang menyesakkan itu. Pelakon Sayu Yang Syukur itu boleh menghela nafas lega apabila berkesempatan meraikan Ramadan dan Syawal di kediamannya yang tidak didedahkan lokasinya.
Paling mencuri tumpuan ialah ruangan berdinding dan beratap lutsinar tempatnya mengadakan kelas agama.
Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, memang menyimpan impian untuk memeriahkan kediamannya itu dengan kelas agama bersama rakan-rakan usrah.
“Sebelum ini pun saya sudah mula adakan sesi perkongsian agama di rumah. Tapi cuma beberapa kali sahaja sempena saya berangkat mengerjakan umrah. Ia sekadar tazkirah untuk mengingatkan kembali apa yang saya sudah lupa.
“Namun di masa akan datang memang saya merancang mahu adakan majlis tadabbur al-Quran di kediaman. Kata orang, ia bagus supaya rumah kita lebih diberkati,” katanya.
Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen jenama Amber bertemakan Raya Romantics di sebuah hotel, baru-baru ini.
Dalam beberapa keping foto yang pernah dimuat naik, bekas suaminya, Nedim Nazri turut dilihat menyertai perkongsian agama itu.
“Kalau ada majlis ilmu, memang bekas suami akan sertai sebab benda baik kita akan undang sesiapa sahaja yang mahu sama-sama mendekati agama.
“Lagipula saya dan bekas suami sangat rapat di mana kami selalu jumpa. Ramadan kali ini saya ada terfikir juga apalah yang dia akan makan sebab kami sudah terbiasa bersama.
“Namun saya duduk berdekatan dengan emak. Jadi saya akan luangkan banyak masa bersama keluarga. Tidak terasa sangat Ramadan sebagai solo,” ujarnya berseloroh.
Bercerita mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, pelakon Polis Evo itu berhasrat mahu khatam al-Quran dalam tempoh 15 hari.
“Bulan Ramadan ini saya akan ada aktiviti tadarus selama 15 hari. InsyaAllah kami akan khatam al-Quran. Selebihnya memang banyakkan masa bersama keluarga.
“Saya juga mahu ajak semua orang untuk sambut Ramadan lebih teruja berbanding hari raya.
“Kalau berkesempatan, belilah pakaian baru atau hias rumah kita sempena menyambut Ramadan supaya lebih meriah,” jelasnya.