IPOH: Bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin memulakan tugas sebagai Ketua Polis Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara wajib pada 8 November lalu.
Sebelum ini, jawatan Ketua Polis Perak dipangku oleh Zulkafli Sariaat yang juga Timbalan Ketua Polis Perak.
Majlis serah terima tugas tersebut berlangsung di Mes Pegawai Kanan Perak dengan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.
Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) negeri antara Datin Noormawati Abdul Latip dan Zaleta Ibrahim dengan disaksikan Datin Seri Norliah Othman.
Noor Hisam dalam ucapannya berkata, jawatan Ketua Polis Perak merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk digalas dalam memastikan perjalanan operasi pasukan polis sentiasa berada di landasan yang betul.
Malah katanya, beliau juga bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam kekal terpelihara kepada masyarakat di seluruh negeri.
“Kemajuan pangkat adalah suatu rezeki dan ia diiringi dengan suatu tanggungjawab besar untuk dipikul.
“Insya-Allah, berbekalkan pengalaman yang ada dan digabungkan dengan kredibiliti serta idea warga polis Perak, saya yakin untuk mengetuai pasukan ini,” katanya.
Noor Hisam yang dilahirkan pada 28 Oktober 1967 mula menyertai perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 17 Disember 1989 ketika berusia 22 tahun dan ditugaskan sebagai Platun Komander di Batalion 16 Pasukan Polis Hutan (PPH) Kota Kinabalu yang kini dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum diserap masuk dalam pasukan 69 Komando.
Sepanjang berkhidmat dalam PDRM, beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Staf Operasi Darat dan Timbalan Ketua Staf Pasukan Khas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Anak kelahiran Sungai Siput itu juga pernah menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste pada Jun 1999 hingga 2000. – UTUSAN