KOTA BHARU: Nilai ringgit yang rendah berbanding bath Thailand dan kemudahan infrastruktur menjadi punca zon bebas cukai Rantau Panjang serta Pengkalan Kubor yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini, suram berbanding suatu masa dahulu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, semasa ringgit lebih tinggi berbanding bath, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur di Tumpat menjadi lokasi tumpuan ramai.
“Kebanyakan barangan jualan di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur datangnya dari Thailand. Dahulu kita boleh tewaskan mereka (Thailand) dengan tawaran harga lebih murah.
“Namun kini tidak lagi dan keadaan sudah jauh berubah,” katanya ketika sesi soal jawab pada program Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Media, kelmarin.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan, infrastruktur bandar sempadan turut menjadi punca lokasi itu suram.
Katanya, kerajaan negeri sudah memaklumkan masalah itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tindakan lanjut.
“Saya ingin tegaskan, kawasan ini memerlukan perhatian serta penglibatan lebih serius daripada kerajaan Persekutuan kerana ia merupakan sempadan negara.
“Malangnya kita dapat lihat bandar sempadan di Thailand adalah jauh lebih teratur dan menarik berbanding di Malaysia. Jadi saya minta kerajaan Persekutuan mengambil peranan dalam pembangunan bandar sempadan Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.
“Alhamdulillah, kita menerima respons sangat baik yang mana kerajaan negeri diminta menyediakan tanah untuk dijadikan kawasan bebas cukai baharu di Rantau Panjang,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri telah mengazetkan satu kawasan baharu di Rantau Panjang dan akan memberi komitmen penuh terhadap usaha tersebut agar bandar sempadan Malaysia dapat bersaing dengan Thailand. – UTUSAN