NEST rekod lebih 100 spesies burung di Seberang Perai

NEST rekod lebih 100 spesies burung di Seberang Perai

SHAIFUL Azhar Abu Bakar (tengah) bersama ahli pasukan menjalankan aktiviti mencerap burung di Taman Rimba, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Lebih 100 spesies burung berjaya direkodkan menerusi aktiviti mencerap haiwan itu anjuran Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) di Seberang Perai, baru-baru ini.

Aktiviti cerapan di bawah ‘Program Survey Senarai Semak Spesis Burung Hutan di Seberang Perai’ itu menghimpunkan pasukan pemantau yang terdiri daripada sepuluh aktivis, jurufoto dan pemerhati burung daripada universiti tempatan yang bekerjasama merekod serta mengemaskini data burung di negeri ini.

Ketua Kerja Lapangan, Shaiful Azhar Abu Bakar berkata, daripada 100 spesies yang direkodkan, 60 daripadanya dikesan di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam di Seberang Perai Utara (SPU) manakala selebihnya dijumpai di Taman Rimba Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

“Sepanjang aktiviti itu berlangsung, kita berjaya merekodkan kemunculan kawanan burung muda seperti Helang Kembara Hitam yang didapati bertenggek di sekitar kawasan Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam sekaligus membuktikan bahawa berlaku pertambahan populasi spesies terbabit di situ yang dipercayai turut menjadi habitat pembiakan burung tersebut.

“Kita jangkakan dapat melihat pelbagai lagi spesies burung di lokasi terakhir iaitu di Taman Negeri Bukit Panchor di Seberang Perai Selatan (SPS) dalam program yang berbaki dua hari lagi,” katanya kepada pemberita di Taman Bukit Rimba di sini, hari ini.

Jelas Shaiful Azhar, ketika menjalankan aktiviti cerapan itu, pasukan pemantau turut berdepan dengan beberapa cabaran termasuk kawasan cerapan burung yang berbukit selain permukaan yang tidak rata.

“Sepanjang sesi cerapan yang berlangsung tiga kali sehari iaitu waktu pagi, petang dan malam itu juga, pelbagai kelengkapan dan peralatan dibawa bersama oleh mereka bagi memudahkan pemantauan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, penyelaras projek, Dr. Siti Norasikin Ismail berkata, geran untuk menjalankan program tersebut diperolehi daripada Think City iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad.

Katanya, ia bertujuan membolehkan satu laporan senarai semak spesies burung hutan disediakan sebagai bahan rujukan untuk penyelidikan, perancangan pembangunan dan pembangunan polisi termasuk ekopelancongan pada masa depan.

“Pada masa yang sama, projek ini juga sebagai usaha menyediakan satu laporan berkaitan pengetahuan, sikap dan persepsi sekaligus mewujudkan kesedaran pemeliharaan burung dalam kalangan masyarakat di Seberang Perai.

“Untuk itu, kita juga akan menerbitkan bahan cetak seperti makalah atau brosur (risalah) berkaitan spesies burung hutan, video pendek dan data dalam platform digital untuk capaian awam yang boleh diakses semua pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya