LUMUT: Pengusaha bot nelayan laut dalam di Pantai Remis dan Bagan Panchor dekat sini menyuarakan kebimbangan berikutan ancaman lanun dari negara jiran yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May Ing, berkata sekurang-kurangnya lima kes diadukan kepadanya sejak Disember lalu sehingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Katanya, modus operandi lanun tersebut ialah menggunakan bot kecil laju dinaiki kira-kira empat hingga lapan orang dengan seorang menggunakan senjata api manakala yang lain bersenjata parang.
Menurutnya, kumpulan lanun tersebut akan memasuki perairan Malaysia atau perairan menjadi pertikaian sekitar tengah malam atau awal pagi, sebelum menunda bot nelayan Malaysia ke perairan Indonesia.
“Ada kes yang melibatkan penculikan (dan meminta wang tebusan), ada bot nelayan serta peralatannya yang bernilai ratusan ribu ringgit dirosakkan,” katanya pada sidang akhbar di Pantai Remis, hari ini.
Menurutnya, selain lanun, nelayan laut dalam juga berdepan dengan gangguan pihak berkuasa Indonesia mendakwa bot nelayan Malaysia memasuki perairan negara mereka lantas merampas bot tersebut sedangkan ia dalam perairan Malaysia atau yang dalam pertikaian.
Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 200 bot laut dalam yang beroperasi sekitar Pantai Remis dan Bagan Panchor dan terletak kira-kira 60 batu nautika dari sempadan laut antarabangsa.
May Ing berkata, beliau difahamkan bot nelayan laut dalam di Hutan Melintang, Bagan Datuk dan di daerah Kerian, turut menghadapi masalah yang sama.
Katanya, pihak berkuasa perlu memandang serius masalah itu kerana Perak mempunyai nelayan laut dalam terbesar di Semenanjung Malaysia, dan ia boleh menjejaskan hasil tangkapan ikan negara.
Ketika ini, katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Perak tidak mempunyai peningkatan aset untuk menangani ancaman itu dan hanya enam kapal peronda yang mampu beroperasi di luar lingkungan 40 batu nautika, menyebabkan pasukan keselamatan sukar untuk memberikan bantuan segera setiap kali insiden berlaku.
“Saya sudah menghubungi pihak APMM Perak minggu lalu dan akan berusaha mengadakan perbincangan dengan mereka dalam tempoh terdekat.
“Saya juga akan menghadiri dialog dengan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian pada minggu depan, dan akan sekali lagi membangkitkan isu pertindihan perairan dengan Indonesia ini.
“Memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini, saya akan mencadangkan agar isu ini dibawa ke peringkat rundingan rasmi bersama Indonesia bagi mencari penyelesaian muktamad agar pertindihan sempadan laut ini diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengusaha, yang hanya mahu dikenali sebagai Issac Lim, 36, berkata seorang pekerjanya warga Thailand ditembak mati dalam kejadian Januari tahun lalu manakala botnya ditunda ke perairan Indonesia.
Beliau yang memiliki tiga bot, berkata semakin ramai pekerja warga asing yang enggan bekerja di bot nelayan laut dalam kerana bimbang keselamatan mereka.
Dominic See, 32, pula berkata dalam kejadian 14 Februari lalu pula, botnya diserang empat lanun yang turut memotong pukat bernilai kira-kira RM30,000 serta mencederakan seorang pekerjanya.
Beliau yang mempunyai 10 bot berkata, menganggap dirinya bernasib baik kerana bot serta pekerjanya kemudian dilepaskan berbanding ada pengusaha lain yang diminta menyerahkan wang tebusan. – UTUSAN