BAGAN DATUK: Nelayan laut dalam di Hutan Melintang di sini bimbang terhadap ancaman kumpulan penjenayah dipercayai dari negara jiran yang mengugut dan merampas bot mereka.
Setiausaha Eksekutif Koperasi Nelayan Daerah Hilir Perak, Kee Jeh Hai memberitahu, terdapat kes yang melibatkan tuntutan wang tebusan dan bot nelayan serta peralatannya yang bernilai ratusan ribu ringgit dirosakkan.
Katanya, modus operandi kumpulan tersebut ialah menggunakan bot kecil laju dinaiki kira-kira empat hingga lapan orang dengan seorang menggunakan senjata api manakala yang lain bersenjata parang.
Menurutnya, kumpulan tersebut akan memasuki perairan Malaysia atau kawasan pertikaian sekitar tengah malam atau awal pagi, sebelum menunda bot nelayan Malaysia ke perairan negara jiran.
“Kumpulan ini datang secara tiba-tiba, mengacukan senjata api dan parang kepada kami, mereka memakai pakaian celoreng menggunakan bot laju yang berada di dalamnya antara hingga lapan orang.
“Ancaman kumpulan ini semakin meningkat dan ini membimbangkan kami yang bukannya menangkap ikan hingga ke perairan negara lain, kami menangkap ikan di perairan negara sendiri di Pulau Kendi.
“Masalah itu sudah berlarutan bertahun-tahun, bukan perkara baru namun kami nelayan di Hutan Melintang ini terpaksa juga pergi ke laut menangkap untuk mencari rezeki, hanya itu sumber pendapatan kami sebagai nelayan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jeh Hai berkata, masalah itu perlu ditangani dua negara selepas kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) rentas sempadan di peringkat menteri dua negara pada Jun 2023.
“Dalam masa terdekat kami akan menghantar lagi memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk supaya isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan di sini, Tan Lee Kia, 34, berkata, bot nelayannya pernah ditahan oleh kumpulan tersebut tersebut ketika menangkap ikan di Selat Melaka.
“Tiba-tiba didatangi sebuah bot laju yang di dalamnya terdapat antara lima hingga lapan orang yang membawa senjata api dan parang. Mereka ceroboh, mengarahkan kami memandu bot ke arah sempadan negara mereka. Kami terpaksa ikut sebab mereka bawa senjata api.
“Ada empat buah bot saya yang masih ditahan di negara jiran itu. Saya tidak tahu apa niat mereka. Jika ada usaha ingin mendakwa ke mahkamah, saya setuju sebab kami di pihak yang benar kerana kami berada di perairan Malaysia ketika kami ditangkap,” katanya. – UTUSAN