PETALING JAYA: “Alhamdulillah, urusan mahkamah syariah selesai,” demikian perkongsian pelawak, Along Cham yang mengesahkan dirinya sudah selesai menjalani urusan pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di mahkamah hari ini.
Difahamkan urusan pendaftaran lafaz taklik itu dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi mendapatkan tarikh sebutan seterusnya.
Perkongsian yang dimuat naik di Instagram Story itu juga seolah memberi gambaran bahawa dirinya bakal kembali menjalani kehidupan solo tidak lama lagi diiringi tanda pagar #arbaiebujangkembali.
Hari ini, Afreena turut memuat naik perkongsian di Instagram membela pelawak itu yang tidak henti-henti menerima tohmahan orang ramai.
Pada 28 Januari lalu, Along memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya sehari selepas dirinya dibebaskan dari penjara dengan ikat jamin ekoran kes berkaitan dadah dihadapinya.
Di mahkamah yang sama, Along mengatakan tindakan itu diambil selepas mendakwa isterinya sudah melanggar tiga perjanjian lafaz taklik antaranya, tidak patuh dan membelakangkan suami. – UTUSAN