Negara Islam perlu bangkit tentang cadangan Trump

Negara Islam perlu bangkit tentang cadangan Trump

Ismail Sabri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seluruh negara Islam didesak bangkit menentang cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan sekutunya dari Israel, Benjamin Netanyahu untuk mengambil alih dan mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hak rakyat Palestin perlu dikekalkan dan tidak boleh mereka dilenyapkan daripada peta dunia.

“Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu harus dihentikan dengan segera. Tindakan mereka ini sudah melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ini adalah soal kemanusiaan, sampai bila kita mahu melihat rakyat Palestin diusir dan dibunuh di tanah mereka sendiri? Ini juga adalah satu tindakan yang tidak masuk akal kerana jelas ia adalah langkah untuk melaksanakan pembersihan etnik tanpa menggunakan senjata atau peperangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Trump mengemukakan cadangan luar biasa agar AS ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza, ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Israel untuk rundingan penting me­ngenai gencatan senjata dengan Hamas.

Trump juga menggandakan gesaannya supaya rakyat Pa­lestin keluar dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain seperti Mesir dan Jordan, walaupun rakyat Palestin dan kedua-dua negara itu sebelum ini menolak mentah-mentah cadangan tersebut.

Kata Ismail Sabri, sikap dan tindakan Trump ini sama seperti krisis pengusiran penduduk Palestin dari Baitul Maqdis Timur oleh Israel sejak 1950-an dan juga semasa peperangan pada tahun 1967 di mana baki tanah Palestin dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Baitul Maqdis dan Semenanjung Gaza.

“Amat malu jika AS, sebuah negara yang mahukan keamanan di Asia Barat dan sering menyokong hak asasi manusia, tetapi kini sedang giat mahu mengusir penduduk Gaza.

“Seharusnya pentadbiran AS menyalurkan dana dan sumbangan bagi membantu membangunkan infrastruktur asas seperti hospital dan sekolah di Palestin akibat peperangan yang berpanjangan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya