PADANG RENGAS: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak gagal dalam memainkan peranan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) sebaliknya telah melaksanakan tugas beliau dengan baik.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan yang mengaitkan kegagalan beliau mengatur panggilan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump itu hanya pandangan beberapa pihak sahaja.
Sebaliknya beliau berkata, kayu ukur yang perlu dilihat sepanjang dua tahun Mohamed Nazri menggalas tanggungjawab tersebut apabila berjaya memanfaatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Hubungan dua hala umpamanya, dari segi perniagaan dan pelaburan, kita boleh lihat hubungan antara dua negara ini bertambah baik.
“Pelaburan-pelaburan baharu termasuk dari Google ke dalam negara menunjukkan Malaysia kekal dengan dasar sedia ada.
“Dan dalam beberapa hal tertentu tidak menghalang kita untuk mengambil pendirian jelas mengenai hal dan masalah kekejaman Israel kepada penduduk Palestin dan Gaza,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sumbangan Kasih Madani Kembali Ke Sekolah 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini hari ini.
Menurut beliau, ketika ini, panggilan telefon bukanlah sesuatu hal yang penting, kerana ia perkara biasa yang dilakukan dua negara dalam menjalin hubungan diplomatik.
Pada Jumaat lalu, Mohamed Nazri menempelak kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming yang mendakwa beliau ‘gagal’ mengatur panggilan telefon antara dua pemimpin tersebut.
Beliau menyifatkan gesaan Kian Ming sebagai tidak relevan, selain beranggapan bekas wakil rakyat tersebut sebenarnya mahu ‘menjual diri’ supaya dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.
Mohamed Nazri dipilih memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke AS sejak 9 Februari 2023 dan tamat pada 8 Februari lepas kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara. – UTUSAN