PETALING JAYA: “Biar sahaja detektif netizen yang buat kerja.” Demikian respon penyanyi, Amira Othman ketika mengulas tentang dakwaan dirinya menerima notifikasi daripada aktor, Fattah Amin menerusi sebuah video yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Kata Amira dia tidak gemar berkongsi kisah peribadinya kepada umum sekali gus enggan memberi komen mengenai dakwaan itu.
“Tiada apa yang saya perlu ulas, apa yang saya cerita sebelum ini hanya setakat itu sahaja. Saya pun bukan seorang yang suka kongsi mengenai hal peribadi secara berlebihan kerana tidak selesa.
“Apa yang mereka nampak itu memang atas dasar kerja yang lebih-lebih itu saya tak tahu nak komen macam mana,” katanya ketika ditemu bual di majlis Hi-Tea Rissa Skin x Fattah Amin, di Hotel Royale Chulan Damansara, Sabtu lalu.
Mengulas lanjut mengenai notifikasi tersebut, penyanyi lagu Hati-Hati itu memberitahu dia tidak pasti sama ada aktor berkenaan ada menghantar sebarang notifikasi kepadanya di media sosial.
“Notifikasi itu kadang-kadang butang suka pun boleh jadi notifikasi, stiker pun sama. Saya dah tutup notifikasi sosial media saya, kalau ada mungkin stiker atau tanda suka,” ujarnya.-UTUSAN