Nafas baharu Pesta Angin Timur Perlis

Nafas baharu Pesta Angin Timur Perlis

TINJAUAN dari udara pemandangan lokasi berlangsungnya PAT yang digenangi air dan diselimuti lumpur tebal berikutan hujan lebat di Kampung Lat Seribu, Arau, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesta Angin Timur (PAT) Perlis yang telah berlangsung selama belasan tahun kini berdepan keperluan untuk diberi penjenamaan semula atau nafas baharu, agar ia lebih bertaraf antarabangsa.

Sebagai acara ikonik negeri ini yang setiap tahun berjaya menarik ratusan ribu pengunjung, sudah tiba masanya PAT melalui pembaharuan, baik daripada segi pengisian aktiviti mahupun pemilihan lokasi le­bih sesuai.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, meskipun PAT telah diadakan selama lebih satu dekad, penganjurannya masih di takuk lama dan perlu diberi penambahbaikan untuk memastikan acara tersebut ­terus relevan.

“Pesta ini merupakan acara yang gah dan dinanti-nantikan setiap tahun. Namun, bagi pe­nganjuran tahun depan, saya berharap ia diberi nafas baharu dengan taraf antarabangsa yang dapat menarik pengunjung dari seluruh dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan kelancaran penganjuran pesta ini, antaranya perubahan pengisian acara lebih bertaraf antarabangsa dan pemilihan lokasi strategik.

Abu Bakar berkata, lokasi kawasan bendang tidak semesti­nya menjadi pilihan utama, malah masa acara juga perlu ditentukan dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan masalah seperti hujan dan gangguan cuaca.

PAT 2025 yang berlangsung Jumaat lalu dan berakhir semalam di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang di sini sedikit terjejas selepas kawasan ber­kenaan digenangi air dan diselimuti lumpur tebal serta berlecak susulan hujan lebat sebelum itu.

Ekoran itu, 170 lot perniagaan terpaksa ditutup, sekali gus menyebabkan kerugian kepada peniaga malah beberapa aktiviti juga terpaksa dibatalkan atau dipindahkan ke lokasi lain bagi memastikan pesta terus ber­jalan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi tersebut pada malam pertama pesta berkenaan berkata, meskipun berlaku sedikit bencana berikutan hujan lebat, namun PAT 2025 tetap akan diteruskan.

Abu Bakar mengakui kejadian yang berlaku pada PAT 2025 disebabkan faktor cuaca yang tidak dapat dielakkan dan turut menekankan perlunya pelan tambahan untuk menghadapi sebarang keadaan tidak diingini pada masa depan.

“PAT kini perlu diberikan perhatian lebih serius agar ia tidak hanya menjadi acara tempatan, tetapi dapat berkembang ke pe­ringkat antarabangsa dan dengan perubahan yang strategik, acara ini boleh menjadi platform penting dalam mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya