JOHOR BAHRU: Muzium Layang-Layang Pasir Gudang di Bukit Layang-Layang, dekat sini menerima kunjungan lebih 1,000 orang sehari sempena Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) 2025 yang sedang berlangsung ketika ini.
Ini susulan penganjuran FLLSPG edisi ke-27 bermula kelmarin hingga Ahad ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti serta kehadiran ramai peserta dari pelbagai negara untuk mempamerkan keunikan layang-layang masing-masing.
Pembantu Operasi Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, Mohamad Syafiq Hisyam Ishak berkata, muzium tersebut menempatkan lebih 1,000 layang-layang termasuk tradisional dan moden.
“Selain pameran pelbagai jenis layang-layang serta sejarahnya, muzium ini turut mengadakan bengkel membuat layang-layang serta aktiviti-aktiviti mencanting batik.
“Walaupun mempamerkan pelbagai jenis layang-layang, tetapi ia memberi tumpuan lebih terhadap layang-layang tradisional seperti wau kucing, wau bulan, wau jalabudi, wau merak Johor, wau seri bulan Perak dan wau kenyalang Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi muzium tersebut, Norsarimah Shaadan pula memberitahu, muzium itu mula dibuka sejak 2002.
“Pada asalnya bangunan ini merupakan sebuah kincir angin, namun sejak 2002, ia telah ditukar fungsinya sebagai sebuah muzium. Hingga kini ia merupakan satu-satunya muzium khas untuk layang-layang di Malaysia.
“Ia merupakan satu ikon, bukan sahaja bagi kawasan ini, malah juga buat penganjuran FLLSPG yang telah memasuki edisi ke-27 penganjurannya,” katanya sambil memberitahu muzium tersebut dibuka pada Isnin hingga Jumaat dengan bayaran antara RM1 hingga RM3 berdasarkan kategori.
FLLSPG ke-27 disertai hampir 400 peserta dari 44 negara, termasuk Indonesia, China, Singapura, Thailand, England, Australia, Portugal dan Argentina.-UTUSAN