MELAKA: Membawa muatan berlebihan serbuk simen sebanyak 31 peratus atau 16,260 kilogram (kg) daripada had yang dibenarkan dipercayai menjadi punca tayar lori tercabut dalam kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Simpang Ampat dekat sini, 23 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, syarikat logistik di Johor itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini di bawah Seksyen 57 (1) (b) (vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Menurutnya, pihaknya juga telah mengemukakan permohonan untuk melucut hak treler terlibat di bawah Seksyen 80 (4) APAD 2010.
“Ketika kejadian treler berkenaan membawa muatan serbuk simen dan dipercayai telah membawa lebih muatan sebanyak 31 peratus atau 16,260 kg daripada had yang dibenarkan.
“Itu sebenarnya menjadi punca hingga menyebabkan tayar treler berkenaan tercabut hingga menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan serta mengorbankan tujuh nyawa.
“Surat saman bagi tindakan mahkamah telah diberikan kepada pemilik treler berkenaan pada 7 Februari lalu dan 4 Mac menjadi sebutan kes tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Terminal Melaka Sentral di sini, malam tadi.
Pada 23 Disember lalu, polis mengesahkan bahawa kemalangan maut di Kilometer 204 PLUS arah utara berhampiran Simpang Ampat yang melibatkan lima kenderaan berpunca daripada tayar lori yang tercabut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut adalah seramai tujuh orang membabitkan seorang pemandu dan seorang penumpang bas persiaran manakala lima lagi adalah pemandu dan penumpang kereta Toyota Estima.
Ujarnya, kenderaan-kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori Nissan dan kereta Toyota Estima.
Mengulas berkenaan operasi Tahun Baharu Cina, Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 267 kenderaan dikesan melakukan 323 kesalahan daripada keseluruhan 2,419 kenderaan diperiksa.
Menurutnya, kesalahan tertinggi yang dikesan adalah lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 94 kes, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh (88), kesalahan teknikal (85) dan lain-lain.-UTUSAN